Anda pemilik bisnes yang selalu kena reject dengan customer dan funder? Jadikan kisah Grab ini sebagai pembakar semangat untuk berjuang lebih keras,
Bagaimana Grab Bermula?
Syarikat Grab (dahulu dikenali sebagai MyTeksi) pada asalnya bermula pada tahun 2012 dan beribu pejabat di Segambut, Kuala Lumpur. Ia diasaskan oleh Anthony Tan iaitu cucu kepada Tan Sri Tan Yuet Foh (salah seorang Pengasas Tan Chong Motor Berhad). Bapa Anthony, Dato’ Tan Heng Chew merupakan Presiden syarikat Tan Chong Motor.
Idea penubuhan Grab tercetus ketika Anthony dan beberapa rakannya yang lain sedang belajar di Harvard Business School. Menurut Anthony, rakannya dari luar negara mempunyai pengalaman yang buruk dengan pemandu teksi ketika ingin datang melawatnya di Malaysia.
Pengasas bersama Grab, Tan Hooi Ling juga mempunyai isu yang sama ketika menggunakan servis teksi. Beliau mengalami isu keselamatan kerana sering pulang lewat antara jam 11 malam ke 3 pagi dari tempat kerja.
MyTeksi Menang Pertandingan Idea Bisnes di Universiti Harvard
Pada tahun 2011 Harvard Business School mengadakan pertandingan New Venture Competition dimana ia merupakan acara tahunan untuk para pelajar mengemukakan idea perniagaan baru yang berdaya saing dan boleh diketengahkan ke pasaran luar.
Anthony Tan, Tan Hooi Ling dan seorang lagi rakan mereka iaitu Adeline Chan menyertai pertandingan tersebut untuk menerangkan mengenai idea perniagaan mereka “MyTeksi”. Walaupun tidak berjaya memenangi hadiah utama, mereka berjaya mendapat tempat kedua dan membawa peluang hadiah wang tunai bernilai USD 25,000.

Perjuangan Awal Dalam Membangunkan MyTeksi
Anthony dan Tan Hooi Ling membuat keputusan untuk meneruskan idea perniagaan mereka dengan berbekalkan wang kemenangan pertandingan dan wang simpanan Anthony sendiri. Tetapi perjalanan mereka tak mudah.
Selain faktor modal, mereka mempunyai beberapa halangan utama antaranya Tan Hooi Ling terpaksa menunaikan bon daripada McKinsey iaitu syarikat yang menaja pelajarannya di Harvad. Jadi operasi perniagaan MyTeksi pada ketika itu perlu dilakukan oleh Anthony sendiri.
Untuk memberi sepenuh tumpuan kepada perniagaannya, Anthony meletak jawatan sebagai Head of Supply Chain and Marketing di Tan Chong Motor Berhad. Tindakan ini dikatakan menaikkan kemarahan bapanya Dato’ Tan Heng Chew. Dikhabarkan Dato’ Tan tidak mahu menyediakan bantuan kewangan malah mengugut untuk tidak memberi sebarang harta kepada Anthony.
Cabaran lain juga adalah dengan meyakinkan pemandu teksi pada ketika itu untuk memuat turun dan menggunakan aplikasi MyTeksi. Anthony berkata dalam 10 orang pemandu, hanya 2 orang saja yang setuju untuk mencuba aplikasi MyTeksi.
Pengalaman Mencari Pelabur
Ketika diawal perniagaan, cabaran utama mereka juga adalah untuk mencari pelabur yang percayakan idea perniagaan MyTeksi pada ketika itu. Antara mereka yang memberi peluang dan kepercayaan adalah bekas CEO Cradle iaitu arwah Nazrin Hassan.
Cradle Fund dibawah Kementerian Kewangan merupakan sebuah badan yang menyediakan dana peringkat awal kepada usahawan yang terlibat dengan perniagaan berasaskan teknologi.
Selain itu ahli keluarga terdekat iaitu ibu Anthony sendiri, Dato’ Dr Khor Swee Wah juga dikenali sebagai Rosie Tan serta beberapa pelabur lain bersedia untuk menyuntik dana kepada Grab.

Untuk merealisasikan pelan perkembangan MyTeksi ke rantau Asia Tengggara, mereka memerlukan lebih banyak dana dan Anthony pernah memohon bantuan geran kewangan daripada Khazanah Nasional Berhad pada tahun 2014. Akan tetapi, permohonan mereka ditolak.
Khazanah adalah sebuah sovereign wealth fund milik Kerajaaan Malaysia yang dipertanggungjawabkan untuk membangunkan simpanan jangka masa panjang negara.
Menurut bekas Managing Director Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar perjanjian dengan MyTeksi tidak berjaya kerana mereka tidak mencapai persetujuan dalam perjanjian pembiayaan. Sumber: The Star
Pada tahun 2013, Temasek Holdings iaitu sovereign wealth fund milik kerajaan Singapura bersetuju untuk melabur sejumlah 10 juta USD dan pada tahun yang sama MyTeksi dijenamakan kepada GrabTaxi kemudian pada tahun 2014 mereka berpindah ke Singapura.
Pihak pengurusan GrabTaxi percaya mereka membuat keputusan yang tepat untuk berpindah kerana di Malaysia terdapat banyak isu perundangan berkenaan dengan aktiviti mengumpul dana daripada Venture Capital luar. Pelepasan cukai dan subsidi yang ditawarkan oleh kerajaan Singapura juga lebih menarik.
Grab Terbang Lebih Tinggi
Mei 2014 Grab melancarkan Grabcar dimana ia merupakan alternatif pengangkutan untuk pemandu menggunakan kenderaan persendirian selain teksi bagi mengatasi masalah kekurangan pengangkutan awam ketika waktu puncak.
Pada Januari 2016, GrabTaxi dijenamakan semula kepada Grab setelah perniagaan semakin berkembang. Bermula dengan perkhidmatan pengangkutan untuk mengubah landskap pemanduan teksi kini mereka mempunyai GrabCar, GrabBike, GrabHitch, GrabExpress dan GrabFood.
Anthony dikatakan pernah bertemu secara senyap di San Francisco untuk berjumpa dengan CEO baru Uber pada ketika itu, Dara Khosrowshahi.
Pada Mac 2018, Grab secara rasmi mengumumkan mereka telah mengambil alih operasi perniagaan Uber di rantau Asia Tenggara. Melalui merger & acquisition, Uber mempunyai kepentingan sebanyak 27.5% dalam Grab dan CEO Uber Khosrowshahi menyertai lembaga pengarah Grab.
Grab IPO
Coronavirus memberikan impak kepada Grab seperti bisnes-bisnes yang lain. Negara sekitar Asia Tenggara dalam lockdown jadi perniagaan utama Grab iaitu ride-hailing jatuh menjunam. Plan besar untuk Grab dan Gojek (syarikat hailing dari Indonesia) bergabung juga tidak berjaya.
Walaupun nampak seperti tak ada harapan namun Anthony tak pernah berputus asa dan masih menyimpan cita-cita untuk tersenarai di pasaran saham.
Melalui kenalan rapat, awal tahun 2021 Anthony diperkenalkan dengan Brad Gerstner selaku pengasas Altimereter Capital iaitu sebuah firma pelaburan di Amerika Syarikat. Gerstner juga merupakan alumni Harvard Business School. Dalam tempoh 3 bulan perbincangan mereka mengumumkan penggabungan antara Grab dan Altimeter Capital untuk membentuk Special Purposes Acquisition (SPAC).
Penggabungan ini membolehkan Grab tersenari di pasaran saham Amerika Syarikat dan mereka dijangka dapat mengumpul modal sebanyak 4.5 bilion USD dengan anggaran penilaian sebanyak 40 bilion USD.
Secara rasminya pada 2 Disember 2021 jam 10.30 malam (waktu Singapura) Grab tersenarai di pasaran Nasdaq. Begitulah kisah bagaimana dua anak muda dari Malaysia bekerja keras mengharungi halangan untuk berjaya dalam perniagaan. Jika anda merupakan seorang usahawa, diharapkan kisah ini dapat menjadi inspirasi untuk anda.
Untuk usahawan yang mempunyai pelan jangka masa panjang nak senaraikan perniagaan anda di Pasaran Bursa Malaysia, hubungi admin di Telegram.
Sumber: Vulcan Post, The Star, The Straits Times, Finance Twitter