Biasa dengar tak orang dalam bidang saham asyik sebut IPO, IPO. Kalau anda nak tahu apa itu IPO Bursa Malaysia dan cara nak mohon saya akan terangkan dalam artikel ini.
Apa itu IPO Bursa Malaysia?
IPO dalam Bahasa Inggeris merupakan singkatan bagi Initial Public Offering. Dalam Bahasa Melayu ia bermaksud Saham Terbitan Awam. Melalui IPO, saham milik syarikat akan ditawarkan kepada orang awam yang berminat untuk membelinya sekaligus menjadi sebahagian daripada pemegang saham syarikat.
Sebelum saya kongsikan dengan lebih lanjut mengenai IPO, jom kita recap sekejap jenis-jenis syarikat di Malaysia. Untuk sesebuah perniagaan beroperasi secara sah di Malaysia, ia perlu didaftarkan terlebih dahulu. Terdapat 3 jenis syarikat utama iaitu:
- Milikan Tunggal (Enterprise)
Bagi syarikat milikan tunggal, perniagaan yang didaftarkan adalah atas nama pemilik perniagaan itu sendiri dan kebiasaannya modal permulaan perniagaan syarikat adalah kecil dan ia diperolehi sama ada melalui modal sendiri, pinjaman daripada ahli keluarga atau rakan terdekat atau melalui pinjaman mikro daripada bank. Antara contoh perniagaan milikan tunggal seperti gerai makanan, kedai runcit dan kedai kek. - Sendirian Berhad (Private Limited Company)
Kebiasaannya pemilik syarikat jenis milikan tunggal memilih untuk upgrade perniagaan mereka kepda Sdn Bhd setelah perniagaan itu berjaya berkembang lebih besar. Untuk perniagaan jenis ini, ia boleh dimiliki sama ada oleh seorang individu ataupun berkongsi dengan antara 2 ke 50 orang pemilik syarikat yang lain. Saham syarkat Sdn Bhd tidak boleh dijual secara terbuka kepada orang awam. - Berhad (Public Limited Company)
Syarikat jenis Berhad merujuk kepada syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia. Saham syarikat ini boleh dijual beli oleh orang awam secara terbuka. Bilangan minimum pemilik syarikat berhad adalah 2 orang dan maksimum sehingga infiniti. Ini bermakna tiada had untuk sesiapa sahaja membeli saham atau syer syarikat Berhad. Untuk orang awam yang berminat untuk membeli saham syarikat Berhad, mereka perlu mempunyai akaun CDS berumur 18 tahun keatas dan mempunyai modal yang mencukupi.
Berminat buka akaun CDS? Isi borang ini >>
Jadi, apabila anda membeli saham IPO yang akan tersenarai di Bursa Malaysia, anda sebenarnya akan membeli saham syarikat jenis Berhad yang baru dibuka kepada orang awam. Sesebuah syarikat pastinya memerlukan modal untuk memulakan perniagaan. Antara sumber utama yang boleh digunakan untuk mendapatkan modal adalah melalui pinjaman bank. Melalui pinjaman bank, syarikat perlu membayar komitmen bulanan beserta faedah sebagai balasan kepada bantuan pinjaman yang diberikan oleh pihak bank.
Alternatif lain bagi mendapatkan modal adalah pemilik syarikat boleh menjual sebahagian daripada ekuiti asal miliknya kepada orang luar. Melalui cara ini, pemilik syarikat tidak perlu bayar semula pinjaman walaubagaimanapun perlu berkongsi pemilikan saham syarikat bersama dengan orang awam yang lain.
Tujuan Syarikat Menerbitkan IPO
Modal yang diterima hasil daripada menerbitkan saham kepada orang awam boleh digunakan untuk beberapa tujuan antaranya adalah untuk membesarkan perniagaan, mendapatkan modal kerja (working capital), pembayaran balik pinjaman bank dan juga untuk menanggung perbelanjaan penyenaraian. Untuk mengetahui lebih spesifik tujuan hasil IPO itu akan dibelanjakan nanti, para pelabur boleh merujuk kepada prospektus syarikat.
Prospektus syarikat adalah dokumen undang-undang formal yang mempunyai maklumat dan perincian lengkap mengenai tawaran pelaburan untuk dijual kepada orang awam. Syarikat dikehendaki mengemukakan dokumen tersebut kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia. Prospektus ini boleh dimuat turun oleh orang awam melalui laman web SC dan juga Bursa Malaysia.

Jika anda nak buat kajian lanjut mengenai sesebuah IPO dan nak tahu bagaimana hasil daipada IPO nanti akan dibelanjakan, boleh lihat dibahagian UTILISATION OF PROCEEDS > Proceeds from Public Issue.

Melalui contoh dalam gambar, CEKD Berhad akan menggunakan sejumlah RM 24.8 juta hasil daripada IPO untuk:
(a) membeli kilang yang baru,
(b) membeli peralatan baru dan menaiktaraf perisian komputer dan juga server.
(c) membayar semula pinjaman bank
(d) menampung aktiviti pemasaran
(e) mendapatkan modal kerja
(f) membayar perbelanjaan penyenaraian
Cara Dapatkan Senarai Syarikat Yang Akan IPO
Untuk mengetahui syarikat apa yang bakal IPO dan bila ia akan listing, boleh rujuk maklumat si website Bursa Malaysia. Anda juga boleh baca Saham Bakal IPO 2021
Bagi saham syarikat yang akan ditawarkan melalui MITI pula anda perlu alert dengan maklumat di website MITI
Beza IPO MITI dan IPO Melalui Online Banking
Untuk melanggan IPO, pelabur boleh memohon melalui dua cara iaitu melalui MITI dan online banking. Untuk permohonan IPO melalui MITI, ia hanya dibuka untuk permohonan bumiputera sahaja. Harga offer IPO per unit masih sama. Tambahan lagi, tak semua IPO akan ditawarkan melalui MITI.
Proses memohon IPO melalui MITI lebih panjang kerana anda perlu isi borang online dan kembalikan semula borang itu beserta dengan dokumen sokongan yang lain. Berbanding dengan permohonan IPO melalui online banking, anda boleh mohon secara online dan tak perlu sebarang dokumen sokongan.
Untuk permohonan melalui MITI, anda perlu buat bayaran setelah permohonan berjaya. Sebaliknya melalui online banking, duit modal anda dalam bank simpanan akan ditolak lebih awal. Sekiranya permohonan tak berjaya maka modal anda akan dipulangkan semula dalam tempoh beberapa hari selepas keputusan balloting keluar.
Status Syariah IPO
Untuk saham yang sudah tersenarai di pasaran Main Market atau ACE Market, Majlis Penasihat Syariah (MPS) dibawah Suruhanjaya Sekuriti bertanggungjawab untuk menjalankan proses tapisan bagi menentukan sama ada sesuatu saham itu dalam kategori patuh syariah atau tidak. Bagaimana pula dengan saham yang baru nak IPO? Macam mana cara nak tahu sama ada ia patuh syariah atau tak?
Semasa dalam peringkat pre-IPO, syarikat boleh memohon pihak Suruhanjaya Sekuriti untuk mengkaji perniagaan yang dijalankan bagi mendapatkan status patuh syariah sementara.Status patuh syariah ini boleh didedahkan dalam prospektus syarikat untuk menarik minat pelabur beragama Islam. Bagi para pelabur, sebelum mohon beli IPO boleh rujuk Facebook Page Elzar Shariah Solutions & Advisory dan BIMB Securities
Sekarang anda dah tahu apa itu IPO. Untuk memohon anda boleh gunakan kaedah electronic share application menggunakan online banking daripada CIMB Bank, Affin Bank, Maybank, RHB Bank dan juga Public Bank. Service charge untuk permohonan IPO berbeza mengikut bank masing-masing.